UCAPAN PERBAHASAN
YANG BERHORMAT SEKIJANG, YB ANUAR ABD MANAP
PERBAHASAN MENJUNJUNG TITAH
SERI PADUKA BAGINDA YANG DIPERTUAN AGONG
2016
Pendahuluan
Bismillahirrahmannirrahim,
Assalammualaikum Wbkth
Terima kasih Tuan Yang Dipertua
kerana memberi saya peluang untuk turut sama berbahas menjunjung titah Seri
Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung bagi penggal keempat Parlimen ketiga belas
ini.
Titah Seri Paduka Baginda jelas
menyentuh pelbagai isu dengan menyatakan perkara dari setiap perspektif
kehidupan rakyat sehinggalah perkara-perkara berkaitan polisi kerajaan
termasuklah kejayaan dan pengiktirafan yang diperoleh negara di peringkat
antarabangsa.
Tuan Yang Dipertua,
Tahun 2015 telah menjadi suatu
lipatan sejarah yang memberi kita seribu satu pengajaran. Ketidak tentuan
ekonomi global sehingga menyebabkan pasaran tidak menetu kedudukan mata wang
negara sememangnya menjadi cabaran yang besar buat kepimpinan negara. Namun
begitu, berkat doa seluruh rakyat dan kebijaksanaan kepimpinan negara yang
dipilih secara sah dan demokrasi ini membolehkan kita menghadap tekanan ini
dengan terurus dan terkawal. Buktinya, ekonomi Malaysia masih mencatatkan
pertumbuhan yang kukuh selepas merekodkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)
sebanyak lima peratus tahun lalu walaupun negara menghadapi persekitaran
ekonomi global yang mencabar.
Selain itu juga, pelaksanaan
Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) walaupun dilihat sebagai keputusan tidak
popular yang diambil kerajaan, jelas ia akhirnya menjadi keputusan yang baik
untuk dilaksanakan serta dilihat sebagai suatu keperluan buat negara selepas
pendapatan negara terjejas teruk akibat daripada kejatuhan harga minyak dunia
yang sebelum ini menjadi penjana utama ekonomi negara, namun kini ia menyumbang
kira-kira hanya 10 peratus keseluruhan hasil negara pada tahun lalu.
Walaupun pelbagai tohmahan serta
persepsi negatif cuba diwujudkan oleh beberapa pihak, namun akhirnya rekod
pertumbuhan ekonomi negara ini dilihat ramai pakar ekonomi seperti yang
dimaklumkan oleh ASEAN HSBC Global Research dan ForexTime Limited (FXTM)
sebagai sesuatu yang kukuh dan menunjukkan Malaysia masih mampu berdaya saing
walaupun menghadapi ancaman getir ketidak tentuan pasaran global.
Kos
Sara Hidup
Tuan Yang Dipertua,
Walaupun begitu, suka atau tidak
kerajaan juga harus akui ketidak tentuan ekonomi terutamanya kedudukan Ringgit yang
merudum sepanjang tahun lalu serta keperluan kerajaan yang terpaksa untuk
melaksanakan beberapa dasar yang telah sedikit sebanyak menjejaskan ekonomi
serta perbelanjaan seharian rakyat. Peningkatan inflasi serta kenaikan indeks harga
barangan yang bertambah sebanyak 2.1% pada tahun 2015 seperti yang dinyatakan
Jabatan Perangkaan Malaysia sememangnya memberi signal jelas bahawa bebanan
yang lebih perlu ditanggung oleh rakyat setiap bulan. Justeru, beberapa langkah
proaktif perlulah diambil bagi membuang jauh kegusaran hati nurani rakyat
seterusnya memastikan bebanan kenaikan ini mampu ditanggung rakyat.
Saya ingin mengucapkan ribuan
terima kasih dan penghargaan saya kepada pihak kerajaan di atas keputusan bagi
memberi kenaikan satu tangga gaji bagi 1.4 juta penjawat awam bermula separuh
kedua tahun ini atau pada 1 Julai 2016. Sudah tentu ianya adalah suatu
keputusan tepat dan memberi sedikit kelegaan kepada kakitangan awam memandangkan
ianya bakal membantu golongan ini dalam menghadapi tekanan beban kenaikan kos
kehidupan.
Namun begitu, selain daripada
kenaikan gaji ini, saya merasakan terdapat keperluan mendesak bagi kerajaan
untuk turut sama menilai semula jumlah Bantuan Sara Hidup atau COLA yang
diberikan kepada kakitangan awam memandangkan berlakunya peningkatan dalam
perbelanjaan seharian mereka ini. Buat masa ini, COLA ini dibayar dengan jumlah
berbeza-beza mengikut pecahan kepada tiga kumpulan yang bersandarkan kepada
kawasan tempat kerja atau institusi pengajian bagi kakitangan yang diluluskan
cuti belajar atau mengikuti kursus jangka panjang dalam negara.
Memandangkan kenaikan kos sara
hidup ini bukan sahaja berlaku di bandar-bandar besar malah turut sama
tempiasnya berlaku di kawasan bandar lain selain daripada jurang perbezaan kos
sara hidup yang semakin kecil antara bandar besar dan bandar-bandar kecil lain,
saya ingin mencadangkan agar jumlah bantuan COLA ini diselaraskan dengan jumlah
yang sama tanpa perlu lagi dibahagikan mengikut perbezaan kawasan.
Seperti yang saya sebutkan tadi,
jurang perbezaan kos sara hidup rakyat antara di dalam bandar besar dan bandar
kecil mahupun di luar bandar sekalipun adalah semakin mengecil malah ada juga
di sesetangah kawasan, kos hidup di luar bandar adalah lebih tinggi berbanding
di dalam bandar, bermakna kos kehidupan seharian mereka dilihat adalah setara
ketika ini. Justeru, jika di bandar besar kakitangan awam ini mendapat RM300
maka adalah suatu keperluan juga di bandar-bandar lain turut mendapat jumlah
yang sama.
Selain itu, mekanisme pemberian
COLA ini mungkin juga perlu dikaji kaedah pelaksanaannya. Kita boleh mengambil
contoh di negara-negara maju lain seperti di Amerika Syarikat yang mana COLA
ini dibuat penyelarasan baru berdasarkan indeks pengguna setiap tahun. Memandangkan
kadar inflasi dijangka meningkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang, saya
merasakan langkah ini adalah sesuatu yang proaktif bagi mewujudkan keseimbangan
pendapatan dan perbelanjaan keluarga kakitangan awam yang ada di negara ini.
Selain daripada itu, kerajaan
juga perlu memberi galakan kepada majikan-majikan swasta untuk turut sama
memperkenalkan skim COLA ini kepada pekerja mereka. Insentif cukai adalah
langkah sesuai yang boleh diambil kerajaan sebagai suatu bentuk galakan kepada
majikan swasta yang turut melaksanakan pemberian COLA kepada pekerja mereka
memandangkan tambahan pendapatan melalui COLA ini bakal meningkatkan
perbelanjaan dalam negara melalui permintaan domestik yang secara tidak langsung
menjana pertumbuhan negara dalam jangka masa panjang.
Namun begitu, jika ianya menjadi
kenyataan haruslah ditekankan bahawa pemberian COLA kepada pekerja swasta ini
adalah terhad kepada rakyat Malaysia sahaja. Ini bermakna hanya syarikat swasta
yang mengambil pekerja tempatan sahaja layak untuk mendapat insentif cukai ini
dan perkara ini secara tidak langsung bakal menjadi pemangkin kepada syarikat
swasta untuk memperkasakan penggunaan tenaga tempatan dalam operasi syarikat
mereka seterusnya mengurangkan kebergantungan mereka kepada pekerja asing. Bagi
saya ini adalah win-win situation dengan izin. Ambil pekerja
tempatan, beri COLA dan anda layak mendapat insentif cukai.
Tidak mengapalah jika hasil
kerajaan sedikit terjejas kerana pemberian insentif cukai ini kerana rakyat
akhirnya menjadi lebih gembira, penggunaan tenaga tempatan bertambah manakala
aliran wang ke luar negara pula dapat dikurangkan. Dalam jangka masa panjang,
ianya memberi kesan positif kepada masa depan negara.
Pendidikan
Tuan Yang Dipertua,
Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (PPPM) merupakan suatu titik tolak penting dalam sistem pendidikan
Malaysia dalam memastikan kualiti pendidikan negara ini mampu mencapai standard
yang bertaraf dunia. Kita harus akui bidang pendidikan kita masih mempunyai
banyak ruang dan peluang yang harus diperbaik dan diterokai. Perspektif
sebilangan pelajar dan ibu bapa bahawa ‘A’ adalah segalanya haruslah diubah
sebaliknya melahirkan lebih ramai pelajar street
smart haruslah menjadi keutamaan dan sasaran sistem pendidikan negara dalam
menyediakan asset masa hadapan negara yang bukan sahaja berkualiti malah mampu
membawa impak besar dalam pembangunan negara pada masa hadapan.
Selain daripada itu, pihak
Kementerian Pendidikan harus mempergiat dalam mempromosikan Tingkatan 6 sebagai
pilihan utama pelajar dalam melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih
tinggi. Prospek serta peluang yang wujud melalui Tingkatan 6 haruslah
diterangkan kepada bukan sahaja pelajar malah ibu bapa kerana masih ramai beranggapan
bahawa Tingkatan 6 adalah pilihan terakhir jika tidak dapat menyambung
pelajaran ke peringkat universiti.
Ibu bapa dan pelajar harus
mendapat penjelasan lanjut serta pendedahan yang sewajarnya kerana melalui
Tingkatan 6 ini, ia sebenarnya adalah fast-track
untuk melanjutkan pelajaran ke peingkat ijazah memandangkan tempoh
pengajian di peringkat ini hanya mengambil masa kurang dari 2 tahun berbanding
di peringkat diploma yang mengambil masa sekurang-kurangnya 3 tahun.
Tingkatan 6 juga sebenarnya jauh
lebih mnjimatkan berbanding peringkat diploma di universiti lebih-lebih lagi di
universiti swasta yang memakan belanja yang boleh mencecah puluhan ribu dan
kebanyakan pelajar terpaksa membuat pinjaman pelajaran melalui PTPTN. Ini
secara tidak langsung menyebabkan ramai golongan muda terpaksa menanggung beban
hutang pada usia yang muda.
Selain daripada itu, Sijil Tinggi
Pelajaran Malaysia (STPM) ini juga adalah setaraf O level yang diperakui di
universiti-universiti seluruh dunia apabila seseorang pelajar itu hendak
menyambung pelajaran. Ini juga adalah kelebihan STPM ini berbanding sijil
Diploma yang tidak semua bidang diperakui dan diterima di seluruh dunia. Sijil
STPM ini juga sah digunakan untuk untuk permohonan melanjutkan pelajaran untuk
tempoh masa tidak terhad berbanding sijil matrikulasi yang hanya sah bagi
tempoh masa 2 tahun selepas tamat pelajaran.
Sijil STPM ini juga boleh
digunakan untuk membuat permohonan kerja sebagai sijil akademik tertinggi
seseorang jika tidak mempunyai ijazah dan untuk rekod peluang untuk mendapat
pekerjaan terutamanya sebagai kakitangan awam adalah lebih cerah berbanding
sijil diploma itu sendiri.
Tuan Yang Dipertua,
Saya ingin menyentuh tentang
Technical and Vocasional Education Tertiary (TVET). Saya berharap jawapan yang
jelas serta lanjut dapat diperincikan mengenai isu yang saya bawakan ini.
Seperti yang diketahui, kewujudan
Kolej Vokasional (KV) yang menawarkan Diploma Vokasional Malaysia (DVM)
merupakan langkah murni yang diambil kerajaan bagi memastikan golongan yang
meminati bidang teknikal melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi
sehingga menjadi sumber tenaga mahir.
Namun begitu, apa yang menjadi
permasalahan adalah apabila graduan KV ini memohon pekerjaan. Ramai daripada
mereka ini tidak mendapat pekerjaan kerana mereka ini tidak mempunyai sijil SPM
yang seperti diketahui adalah sijil asas yang dilihat majikan untuk mengambil
pekerja. Walaupun diakui Diploma Vokasional Malaysia atau DVM ini diperakui
oleh Malaysian Qualification Agency (MQA) namun masih ramai lagi majikan yang
tidak mengetahui status DVM ini dan ada daripada mereka ini tidak pun
mengetahui kewujudan DVM ini.
Persoalan saya, sejauhmanakah
perbincangan antara pihak kementerian dan industri bagi menerangkan kepada mereka
standard serta pengiktirafan yang ada pada pemegang DVM supaya pihak industri
dan majikan ini maklum serta sedar bahawasanya DVM ini adalah sijil yang
diperakui kerajaan.
Selain dari permasalahan ini,
terdapat juga beberapa isu lain yang mana lepasan TVET ini sukar untuk menyambung
pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Dan isu ini timbul disebabkan
terdapat pertindihan sistem akreditasi yang mana buat masa sekarang akreditasi
terhadap TVET dijalankan oleh dua kementerian berbeza iaitu Kementerian Sumber
Manusia dan Kementerian Pendidikan. Justeru itu, saya memohon agar proses
penyelarasan sistem akreditasi tunggal bagi TVET ini dijalankan secepat mungkin
seperti yang telah dicadangkan di dalam RMK-11 yang lalu. Ini adalah penting
bagi memastikan sistem penyampaian program TVET dapat diperkasakan seterusnya
sasaran negara dalam melahirkan 50 peratus pekerja mahir pelbagai bidang dapat
dicapai menjelang 2020.
Getah
Tuan Yang Dipertua,
Fenomena lembab harga getah masih
lagi meresahkan sebilangan besar pemain industri getah ini baik secara
kecil-kecilan mahupun syarikat besar. Pastinya yang terjejas teruk melalui
fenomena ini adalah pekebun kecil yang kehidupan seharian mereka bergantung
kepada hasil harian. Sebagai sebahagian usaha membela nasib golongan ini,
kerajaan telah pun mengaktifkan insentif pengeluaran getah bagi mengurangkan
impak pendapatan yang berkurangan akibat daripada kejatuhan harga getah.
Ini adalah sesuatu yang sangat
dihargai. Sebagai salah seorang yang membesar di persekitaran getah, saya akui
ramai yang menyatakan penghargaan kepada insentif ini. Namun, pemberian
insentif secara one-off ini masih mempunyai beberapa kekurangan yang dilihat
tidak mencapai sasaran seperti yang dirancang.
Antara isu yang menjadi perbualan
di peringkat bawahan adalah bilamana insentif ini hanya diraih oleh pemilik
kebun namun tidak bagi mereka yang mengambil upah menoreh. Golongan yang
mengambil upah menoreh ini terpaksa berkongsi pendapatan dengan pemilik kebun.
Hal ini telah menyebabkan timbul rasa kurang senang kepada mereka ini
memandangkan pendapatan mereka sudah sememangnya kecil. Jadi cadangan saya,
kerajaan perlu memikirkan juga bentuk bantuan lain kepada golongan mereka yang
mengambil upah menoreh ini seperti mewujudkan database bagi golongan ini agar apa-apa bentuk bantuan dapat terus
disalurkan kepada golongan ini.
Selain daripada itu, kerjasama
sesama negara pengeluar getah melalui Association of Natural Rubber Producing
Countries (ANRPC) yang kebanyakan negara anggota adalah dalam kalangan negara
ASEAN haruslah mencari suatu langkah signifikan bagi memastikan industri getah
tidak terkubur memandangkan saingan dari getah jenis sintetik menjadi pilihan
utama industri ketika ini.
Tuan Yang Dipertua,
Pembinaan Rubber City di Kedah
adalah suatu langkah dinamik demi masa depan industri getah. Sasaran RM10
bilion pelaburan asing pada peringkat permulaan projek ini haruslah dijadikan
realiti dan kerajaan seharusnya mengkaji pemberian insentif-insentif lain yang
boleh menarik pelabur. Ini adalah penting memandangkan Thailand juga sedang
giat membangunkan bandar getah mereka sendiri yang terletak di Songkhla yang
tidak jauh dari sempadan negara. Sasaran pelaburan yang mereka letakkan juga
adalah jauh lebih tinggi dari Rubber City di Kedah iaitu sebanyak USD10 bilion.
Melihatkan kadar pengeluaran dan
stok simpanan hasil getah kita yang jauh lebih kecil berbanding Thailand, saya
bimbang persaingan ini akhirnya tidak begitu berpihak kepada kita. Kita tidak
mahu projek Rubber City ini menjadi sebuah projek gajah putih kerana kegagalan
kita untuk bersaing pada peringkat permulaan ini. Benar, persaingan yang wujud
ini adalah sesuatu yang sihat dan bersifat competition friendly melibatkan dua
negara berjiran tetapi apa yang paling penting melalui Rubber City di Kedah ini
adalah demi kelangsungan industri getah di negara ini selain memastikan
survival pengusaha kebun serta ladang getah di negara ini. Jangan biarkan
harapan mereka ini terkubur.
Selain daripada itu, saya
menyambut baik kenyataan yang dibuat Lembaga Getah Malaysia (LGM) awal Februari
lalu tentang kesediaan mereka untuk menggunakan getah sebagai bahan binaan
jalan raya. Keputusan ini bakal sedikit sebanyak menjadikan Malaysia sebagai
pendahulu dalam pembuatan jalan raya berasaskan getah dengan teknologi terkini
dan jika berjaya mencapai standard yang diperakui antarabangsa, tidak mustahil
kita mampu mencapai hasil yang menguntungkan pada masa hadapan. Saya berharap
pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) boleh bekerjasama erat dengan LGM bagi
memastikan teknologi ini dapat digunakan sepenuhnya dalam kerja-kerja pembinaan
dan baik pulih jalan raya di seluruh negara dalam masa terdekat ini. Pembinaan
Rubber City adalah sangat sesuai dijadikan projek perintis dengan menggunakan
100% teknologi baru ini.
Elektrik
dan Tenaga Hijau
Tuan Yang Dipertua,
Saban tahun, kerajaan menanggung
sekitar RM150 juta dalam pemberian berbentuk subsidi kepada lebih sejuta
pengguna elektrik yang bil bulanannya kurang dari RM20. Terima kasih saya ucapkan kepada kerajaan di
atas pemberian subsidi ini. Tetapi kalau boleh, kaji semula pemberian subsidi
secara pukal ini dengan memindahkannya ke dalam bentuk rebat yang dinikmati
rakyat ketika ini melalui ICPT atau Inbalance
Cost Pass-Through yang dinikmati rakyat ketika ini. Pemindahan ini akan
membolehkan rakyat menikmati rebat yang lebih tinggi. Bagi mereka yang
berpendapatan rendah yang mempunyai keluarga yang kecil, bolehlah dikekalkan
subsidi RM20 ini memandangkan penggunaan tenaga elektrik kepada golongan ini
sememangnya rendah tetapi bagi mereka yang berpendapatan rendah yang mempunyai
keluarga yang agak besar dan menggunakan tenaga elektrik yang lebih banyak,
pemberian rebat yang lebih tinggi, sedikit sebanyak boleh mengurangkan kos
bulanan mereka. Sudah tentu cara ini hanya boleh dilakukan jika TNB mempunyai database berkaitan jumlah pendapatan
seseorang pengguna dan mekanisme pelaksanaan itu boleh diperhalusi pada masa
hadapan.
Tuan Yang Dipertua,
Seri Paduka Baginda turut
menitahkan tentang kepentingan perihal Pertumbuhan Hijau yang antara lain memberi
penekanan kepada sumber penjanaan tenaga boleh baharu. Saya terpanggil untuk
menyentuh tentang Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu (KWTBB) yang mana dana yang
dikumpul di dalam tabung ini dikutip dari pengguna TNB lalu diserahkan kepada
SEDA atau Sustainable Energy Development
Authority untuk diuruskan. Walaupun begitu, pengguna yang terlibat hanyalah
mereka yang menggunakan elektrik dengan bil bulanan melebihi RM77 sebulan
dengan penggunaan 300 kW.
Saya difahamkan, bagi pengguna
yang membangunkan alatan bagi menjana tenaga boleh baharu untuk kegunaan
sendiri, mereka ini boleh membuat tuntutan melalui KWTBB. Tetapi seperti yang
kita ketahui alatan ini bukanlah sesuatu yang murah dan ada antaranya memakan
kos beribu Ringgit. Justeru, saya melihatkan suatu kepincangan apabila semua
pengguna yang mempunyai bil bulanan RM77 ke atas wajib membuat caruman di dalam
tabung ini memandangkan ramai pengguna yang berpendapatan sederhana yang secara
bulanannya mempunyai bil antara RM80 hingga RM100 dan dilihat tidak mampu untuk
memasang alatan semahal ini turut terpaksa membuat caruman yang akhirnya hanya
menguntungkan mereka yang berkemampuan memasang alatan ini sahaja.
Bukanlah saya tidak menyokong
pelaksanaan caruman ini cumanya jika boleh dikaji semula had kena carum
terhadap pengguna seperti contoh jumlah minimum yang wajib dikenakan caruman
dinaikkan agar mereka yang kurang berkemampuan seperti golongan sederhana ini
tidak perlu menanggungnya. Walaupun jumlah yang dikenakan hanya 1%, namun ianya
dilihat tidak begitu molek dalam pelaksanaannya. Kalau boleh juga, penekanan
terhadap penggunaan tenaga boleh baharu ini terutamanya dalam usaha menambah
dana di bawah KWTBB ini ditekankan secara lebih terhadap syarikat-syarikat
besar yang beroperasi di Malaysia.
Selain daripada itu, saya
berharap kewujudan KWTBB ini akan menjadi pemangkin kepada pengurangan
kebergantungan sumber penjanaan dari Penjana Kuasa Bebas (IPP). Bangunkan
teknologi alternatif baru dalam penjanaan kuasa melalui dana di dalam KWTBB,
tidak perlu lagi kita keluarkan apa-apa kontrak pembinaan IPP lagi selepas ini.
TNB juga perlu meletakkan sasaran untuk mengurangkan kebergantungan mereka
kepada IPP setiap tahun. Lagipun sumber boleh baharu kita tidak terhad. Kita
ada laut, kita ada angin, kita juga ada bahan buangan sisa pepejal yang agak
tinggi saban tahun. Ini semua boleh digunakan sebagai alternatif baru. Jalinkan
kerjasama dengan agensi berkaitan seperti Kementerian Kesejahteraan Bandar,
Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi membangunkan teknologi-teknologi baru
untuk penjanaan kuasa.
Tuan Yang Dipertua,
Pada tahun 2010, kita telah
meminda Akta Jabatan Pengangkutan Jalan 1987 bagi membenarkan penggunaan
kenderaan elektrik termasuklah motosikal. Syarikat pembuat motosikal negara,
MODENAS juga telahpun mengeluarkan motosikal jenis elektrik ini yang ianya
telah digunakan secara meluas oleh agensi kerajaan seperti Polis Diraja
Malaysia (PDRM) dalam operasi rondaan di kawasan-kawasan perumahan dan
kejiranan.
Namun begitu, teknologi terkini
menyaksikan terdapatnya motosikal elektrik berkuasa sangat rendah iaitu dengan
kelajuan maksimum 40km sejam yang kebanyakannya model motosikal elektrik ini
dibuat di negara China. Motosikal elektrik ini juga telah digunakan secara
meluas di negara Jepun. Saya mendapat makluman bahawa motosikal jenis ini tidak
mendapat kelulusan dari pihak JPJ kerana tidak menepati spesifikasi yang
ditetapkan untuk sesuatu motosikal elektrik. Untuk meletakkannya di bawah
kategori basikal elektrik juga tidak boleh kerana kenderaan ini tidak perlu
dikayuh bagi membenarkannya diletakkan di bawah kategori basikal elektrik.
Tetapi penggunaan motosikal
elektrik berkuasa rendah ini dirasakan sangat efektif dan selamat digunakan di
kawasan-kawasan kejiranan kecil serta dalam kawasan kampung kerana tidak dapat
mencapai kelajuan yang tinggi. Pada masa yang sama, ianya juga bebas pencemaran
baik bunyi mahupun udara selain harga jualannya yang tidak begitu mahal.
Justeru itu, saya ingin
mencadangkan agar pihak JPJ menilai semula kenderaan jenis ini untuk dibenarkan
penggunaannya walaupun bukan di jalan-jalan besar atau utama, tetapi terhad di
kawasan-kawasan yang saya sebutkan tadi. Tentang soal keselamatan, soal
insurans, itu boleh difikirkan. Melalui pendaftaran di JPJ dan mengenakan cukai
jalan serendah RM1, maka pemilik motosikal elektrik ini bolehlah membeli
insurans untuk kenderaan ini dan risiko tuntutan jika berlaku kemalangan dapat dikurangkan
kerana mereka sudahpun memiliki insurans yang sah.
Saya melihat penggunaan motosikal
elektrik ini adalah sesuatu yang positif memandangkan ianya adalah selamat dan
sudah tentu perkara paling penting ianya adalah antara inisiatif penting bagi
mengurangkan pencemaran.
Belia
Tuan Yang Dipertua,
Golongan belia tidak ketinggalan
di dalam ucapan titah Seri Paduka Baginda. Seruan baginda agar pelaksanaan
program terhadap golongan belia dipertingkatkan haruslah diberikan perhtian.
Seperti yang kita ketahui, terdapat pengurangan dalam bajet yang diperuntukkan
kepada Kementerian Belia dan Sukan. Justeru itu, saya ingin mendapatkan
kepastian dari KBS tentang bagaimana dengan pengurangan peruntukan ini KBS
dapat pastikan segala perancangan seperti yang direncana di bawah Dasar Belia
Negara akan tetap berjalan seperti yang dirancang dan apakah pula
perubahan-perubahan dinamik yang perlu diambil pihak KBS dalam penganjuran
aktiviti serta program berkaitan belia sepanjang tahun ini terutamanya dalam proses
melahirkan lebih ramai pemimpin pelapis dan belia berkualiti dapat dipastikan
selari dan berjaya memenuhi hasrat dan saranan Seri Paduka Baginda ini.
Saya juga mendapat perkhabaran
bahawasanya peruntukan kepada persatuan belia pada tahun ini akan turut dikurangkan.
Dan jika benar ianya terpaksa dilakukan, sudah tentu hal ini akan merencatkan
perjalanan serta perancangan sedia ada persatuan serta pertubuhan belia ini. Jadi
saya berharap dan saya mohon jasa baik pihak kementerian agar menimbang semula
perkara ini terutama sekali peruntukan bagi kerja-kerja pengurusan persatuan memandangkan
persatuan belia sememangnya telah terbukti berjaya melahirkan ramai tokoh serta
bakat kepimpinan negara.
Saya juga berharap Festival Belia
Putrajaya yang diadakan bersempena dengan Hari Belia Negara setiap tahun
seperti sebelum-sebelum ini dapat diteruskan lagi pada tahun ini. Walaupun
mungkin tidak dapat diadakan secara besar-besaran dan berskala besar seperti
sebelum ini, memadailah jika festival tersebut dapat dijalankan secara
sederhana dengan lebih banyak pengisian program serta aktiviti berbentuk ilmiah,
penyampaian maklumat ataupun sesi sembang santai yang menghubungkan pihak
kerajaan, kementerian dan agensi berkaitan dengan belia-belia di peringkat akar
umbi. Aktiviti-aktiviti lain seperti pameran kerjaya dan pendidikan yang
sebelum ini turut dijalankan ketika festival ini haruslah dikekalkan kerana ia
sememangnya memberi manfaat besar kepada golongan belia dan saya merasakan
ianya bukanlah satu bentuk pembaziran kerana aktiviti-aktiviti seperti inilah
yang dinanti dan ditunggu-tunggu oleh golongan ini.
Tuan Yang Dipertua,
Sukan ekstreme sememangnya
mendapat tempat yang istimewa di dalam hati golongan belia bukan sahaja
golongan belia di bandar malah mereka yang berada di luar bandar. Jika di
bandar-bandar besar, kemudahan bagi sukan ini agak mudah didapati, baik
disediakan oleh pihak kerajaan sendiri mahupun dari pihak swasta. Tetapi bagi
kawasan luar bandar seperti di Sekijang, tiada langsung akses kemudahan bagi
sukan jenis ini. Kalau boleh kita tidak mahu melihat sukan ekstreme ini sebagai
suatu bentuk sukan riadah yang eksklusif kepada golongan belia di bandar.
Berilah juga peluang kepada belia luar bandar untuk merasai kemudahan sama
seperti yang dirasai mereka-mereka di bandar.
Justeru, saya ingin meminta jasa
baik pihak KBS agar dibina sebuah gelanggang sukan ekstreme di kawasan Sekijang
memandangkan terdapat minat yang tinggi dari golongan belia di kawasan ini dan
kawasan berjiranan. Saya yakin pembinaan gelanggang ini dapat mengurangkan
gejala tidak sihat sedia ada selain memberi keselesaan serta keselamatan yang
lebih terjamin kepada peminat sukan ini untuk menjalankan aktiviti mereka.
Sekijang
dan Segamat
Tuan Yang Dipertua,
Saya berharap pada tahun ini,
daerah Segamat khasnya di kawasan Sekijang diberikan perhatian yang lebih
berbanding sebelumnya oleh kerajaan dalam proses pembangunannya.
Untuk pengetahuan Dewan, daerah
Segamat telah diangkat sebagai daerah pertanian negeri Johor. Dengan keluasan
tanah yang luas dan tidak terhad, pemilihan Segamat sebagai daerah pertanian
dilihat sangat tepat. Namun begitu, melihatkan perkembangan semasa, masih tidak
banyak pembangunan serta kemudahan bagi aktiviti pertanian yang dijalankan oleh
kerajaan persekutuan bagi menyokong usaha kerajaan negeri ini. Oleh yang
demikian, saya berharap kerajaan persekutuan melalui Kementerian Pertanian dan
Industri Asas Tani dapat mengadakan perbincangan dua hala dengan kerajaan
negeri bagi membentuk suatu hala tuju dan pelan strategik termasuklah
menghasilkan sebuah Pelan Induk atau blueprint
bagi merealisasikan pembangunan Segamat sebagai daerah pertanian dalam
kadar segera. Saya juga berharap, pihak kementerian serta agensi-agensi
berkaitan bersedia untuk membenarkan penggunaan tanah milik mereka bagi tujuan
ini jika dirasakan tanah-tanah tersebut sesuai untuk dijalankan aktiviti
pertanian.
Saya ingin mengucapkan terima
kasih kepada Perdana Menteri yang baru-baru ini telah mengesahkan bahawa projek
landasan berkembar antara Gemas dan Johor Bharu akan diteruskan. Projek ini
dijangka akan melalui kawasan Sekijang lebih kurang sepanjang 30 kilometer.
Walaupun telah lama dirancang dan pengumuman Perdana Menteri baru-baru ini
hanya mengesahkan statusnya, sehingga kini masih belum ada lagi reka bentuk
landasan yang akan dibina dibentangkan kepada penduduk Sekijang. Memandangkan
laluan ini dijangka akan melalui beberapa jalan raya dan kawasan kampong. Ramai
yang menyatakan kebimbangan tentang aspek keselamatan serta kemungkinan
berlakunya kesesakan jalan raya disebabkan pembinaannya kelak. Saya
mengesyorkan agar diadakan suatu taklimat dengan kadar segera kepada penduduk Segamat
agar mereka mendapat makluman awal berkaitan pelan akhir pembinaan landasan
berkembar ini.
Tuan Yang Dipertua,
Terdapat sebuah projek perumahan awam
yang terbengkalai di Taman Tunku Abdu Rahman dalam kawasan Sekijang yang mana pada
awalnya jika siap ianya mampu memberi pilihan kepada lebih ramai penduduk
terutamanya golongan muda untuk memiliki kediaman sendiri. Melalui perbincangan
dengan Jabatan Perumahan Negara, dikhabarkan masih belum ada lagi halatuju baru
mahupun lantikan kontraktor baru untuk menyambung pembinaan rumah tersebut. Memandangkan
projek ini telah terbengkalai agak lama, saya berharap perkara ini dapat
diatasi dalam kadar segera dan mendapat perhatian serius oleh pihak kerajaan
kerana saya khuatir jika dibiarkan semakin lama, tapak projek tersebut akan
dijadikan sarang bagi aktiviti tidak sihat.
Perkara terakhir yang saya mohon
agar diberi perhatian oleh pihak kerajaan adalah untuk menaiktaraf kemudahan
terminal pengangkutan awam Segamat yang semakin usang dimakan usia. Kerja
pembaikian atap serta syiling perlu dijalankan dengan kadar segera bagi
menghindarkan risiko keselamatan kepada pengguna. Selain daripada itu, terminal
ini juga dilihat tidak mesra bagi pengguna orang kelainan upaya (OKU). Adalah
suatu keperluan bagi membina sebuah lif untuk memudahkan kegunaan golongan ini.
Saya jemput pihak berwajib untuk membuat lawatan ke terminal ini dan menilai
sendiri keadaannya.
Penutup
Tuan Yang Dipertua,
Seri Paduka Baginda melalui
titahnya dengan jelas mahukan negara baginda ini dibangun dan dimajukan sebaik
mungkin. Saranan tuanku agar setiap aspek kehidupan rakyat diberi perhatian
yang menyeluruh oleh kerajaan haruslah diberi perhatian serius ditambah harapan
mencapai status negara maju pada tahun 2020 kini hanya tinggal kurang dari 5
tahun.
Justeru itu, kerajaan haruslah
berusaha sebaik mungkin untuk memenuhi hasrat Seri Paduka Baginda ini. RMK-11
yang telah dibentangkan pada tahun lalu bakal menjadi titik tolak masa depan
negara yang sudah tentu kejayaan yang akan diraih kelak bakal menguntungkan
bukan sahaja rakyat buat masa ini malah generasi pada masa akan datang.
Sekian sahaja dari saya Tuan Yang
Dipertua, saya Sekijang mohon menyokong.
Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment