Sunday, 21 June 2015

26.05.2015 Pemberitahuan Pertanyaan Dewan Rakyat : MP Sekijang kepada Menteri Kewangan (Asia School of Bussiness)

Tarikh : 26 Mei 2015

Y.B. TUAN ANUAR BIN ABD. MANAP [SEKIJANG] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan apakah bidang-bidang pengajian yang ditawarkan oleh Asia School of Business (ASB) yang akan bermula September ini melalui perjanjian kerjasama selama 10 tahun antara Bank Negara Malaysia dan Massachusetts Institute of Technology Sloan School of Management (MIT Sloan)

JAWAPAN


Tuan Yang di-Pertua.

Tujuan utama penubuhan Asia School of Business dengan kerjasama Massachusetts Institute of Technology Sloan School of Management (MIT Sloan) adalah untuk meletakkan Asia School of Business sebagai sebuah sekolah pengurusan perdana yang dapat melahirkan pemimpin-pemimpin berprinsip dan transformatif serta dapat memberi sumbangan kepada kepimpinan pemikiran global dalam bidang kewangan. perniagaan dan pengurusan bukan sahaja di rantau Asia malah pada peringkat antarabangsa. 

Program pengajian pengurusan dan penyelidikan yang akan dikendalikan oleh Asia School of Business adalah berasaskan kepada input dan kerjasama daripada pembuat dasar serta penggiat utama industri serantau seperti sektor korporat di negara Asia. Ini bertujuan untuk menjadikan Asia School of Business sebagai sebuah pusat ilmu dan penyelidikan terkemuka yang memberi tumpuan kepada perspektif perniagaan rantau Asia. 

Bermula September 2016, Asia School of Business akan menawarkan program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Masters in Business Administration (MBA). Program MBA yang ditawarkan oleh Asia School of Business ini akan memberi penekanan khusus kepada aplikasi pendidika pengurusan perniagaan secara praktikal melalui projek, pembelajaran tindakan (action learning) serta memberi fokus kepada perspektif perniagaan di rantau Asia. Selain itu, Asia School of Business juga akan menawarkan beberapa program pendidikan eksekutif jangka pendek yang akan direka bentuk dengan kerjasama MIT Sloan.

No comments:

Post a Comment