Sunday, 21 June 2015

28.05.2015 Pemberitahuan Pertanyaan Dewan Rakyat : MP Sekijang kepada Menteri Luar Negeri (ASEAN)

Tarikh : 28 MEI 2015

YB Tuan Anuar bin Abd. Manap [Sekijang] minta MENTERI LUAR NEGERI menyatakan apakah hasil yang diperolehi melalui Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini terutamanya yang melibatkan kerjasama dalam pembangunan serantau Asia Tenggara.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Sekijang atas soalan beliau.

2. Untuk makluman Dewan mulia ini, Sidang Kemuncak ASEAN yang  Ke-26 telah diadakan pada 26 dan 27 April 2015 di Kuala Lumpur dan Langkawi. Semasa Sidang Kemuncak tersebut. para Pemimpin ASEAN telah membincangkan pelbagai isu ke arah memperkukuhkan kerjasama serantau terutamanya dalam pembangunan rantau ASEAN.

3. Di antara isu-isu utama yang telah dibincangkan oleh para Pemimpin ASEAN ialah usaha menjayakan penubuhan Komuniti ASEAN, persediaan untuk menggariskan visi dan hala tuju Komuniti ASEAN pasca-2015 dan hubungan luar serta hala tuju masa depan ASEAN.

4. Para Pemimpin ASEAN juga telah membincangkan perkara- perkara berhubung Inisiatif Integrasi ASEAN. Berdasarkan laporan Setiausaha Agung ASEAN TYT Le Luong Minh, sebanyak 37.4 peratus garis tindakan di bawah Pelan Kerja Inisiatif Integrasi ASEAN telah dilaksanakan. Dalam hal ini, para Pemimpin ASEAN telah mengarahkan Sekretariat ASEAN untuk mempergiatkan lagi usaha untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif di bawah Pelan Kerja Inisiatif Integrasi ASEAN II dan memastikan agar rangka kerja dan sasaran baru boleh
dicapai menjelang akhir tahun 2015

5. Para Pemimpin ASEAN juga telah menzahirkan iltizam untuk memastikan usaha berterusan dijalankan bagi melaksanakan projek-projek di bawah Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN melalui penambahbaikan mekanisme pemantauan dan penilaian, mobilisasi sumber berkaitan dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti seranta. Pada masa yang sama Negara-Negara Anggota ASEAN juga akan turut bekerasama rapat dengan Rakan-Rakan Dialog ASEAN bagi membangunkan projek-projek di bawah Pelan Induk ini.

Tuan Yang di-Pertua,

6. Semasa sesi pemukiman ASEAN yang telah diadakan di Langkawi pula para Pemimpin ASEAN telah membincangkan perkara-perkara berkenaan kepaksian ASEAN, impak krisis kewangan dan kegawatan ekonomi kepada rantau ASEAN dan tindak balas ASEAN, pengurusan bencana dan perubahan iklim disamping bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa

7. Antara isu yang telah diberi penekanan oleh para Pemimpin ialah berkaitan kebangkitan keganasan melampau di mana para pemimpin ASEAN telah menzahirkan sokongan kepada usaha menyemai nilai kesederhanaan melalui Deklarasi Langkawi berkenaan Pergerakan Kesederhanaan Global serta usaha-usaha untuk memerangi keganasan dan radikalisasi.

8. Pertukaran pandangan di kalangan pemimpin-pemimpin ASEAN semasa Sesi Pemukiman ini telah membantu
memupuk dan mempertingkatkan persefahaman bersama yang lebih mendalam dan mengukuhkan lagi perpaduan dan semangat serantau.

9. Selain itu,para pemimpin ASEAN juga telah bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu perubahan cuaca, pembiayaan jangka panjang projek-projek infrastruktur, daya saing perusahaan kecil dan sederhana serantau, pemuktamadan awal Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (Regional Comprehensive Economic Partnership), memperbaiki taraf kehidupan rakyat dan memastikan keberkesanan institusi-institusi ASEAN. Hasil daripada perbincangan tersebut, para Pemimpin ASEAN telah mengulangi komitmen Negara masing-masing terhadap pembangunan rantau ASEAN

Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment