Saturday, 20 June 2015

Pemberitahuan Pertanyaan Dewan Rakyat : MP Sekijang kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Isu Kejatuhan Nilai Ringgit)

Daripada : YB Tuan Anuar bin Abd Manap
Tarikh     :27 Mei 2015

YB TUAN ANUAR BIN ABD. MANAP [SEKIJANG] minta MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI menyatakan:

(a) Apakah kesan kejatuhan nilai mata wang Ringgit Malaysia terhadap pelaburan asing dalam negara, dan

(b) Apakah langkah-langkah yang diambil Kementerian dalam memastikan pelaburan asing terus kukuh.

Jawapan :

Tuan Yang Dipertua,

Kesan pengukuhan dolar Amerika dirasai seluruh dunia dan Malaysia tidak terkecuali daripada impak ini. Bagi menghadapi cabaran ini, setiap negara mengambil langkah-langkah yang sewajarnya. Dalam konteks Malaysia,
Kerajaan komited memastikan akaun semasa dalam imbangan pembayaran terus mencatat lebihan, meneruskan pembaharuan fiskal dan konsolidasi, mempelbagaikan aktiviti ekonomi dan memastikan sistem kewangan terus berfungsi, tanpa menjejaskan aktiviti perniagaan.

Antara kesan kejatuhan nilai matawang Ringgit terhadap pelaburan asing di dalam negara adalah:

  • Daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dijangka bertambah baik apabila para pelabur mengambil kesempatan daripada kos menjalankan perniagaan yang kompetitif di Malaysia.
  • Membuka peluang kepada produk-produk buatan Malaysia untuk lebih bersaing di pasaran antarabangsa. Antara sektor yang tidak terjejas dengan kejatuhan nilai Ringgit ialah sektor elektronik, peralatan perubatan aeroangkasa dan industri berasaskan sumber seperti produk getah, sarung tangan dan perabot. Eksport produk buatan Malaysia yang diniagakan dalam Dolar AS mendapat pulangan yang lebih tinggi memandangkan kos pembuatan masih dalam matawang Ringgit yang lebih rendah dan menggunakan sumber tempatan.


Tuan Yang Dipertua,

Berhubung dengan langkah-langkah yang diambil Kementerian dalam memastikan pelaburan asing terus kukuh, Kementerian ini akan meneruskan pelaksanaan inisiatif-inisiatif yang bersesuaian bagi mencapai sasaran pelaburan tahunan sebanyak RM148 bilion di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP). 

Antara langkah-langkah yang telah diambil Kementerian dalam memastikan FDI terus kukuh termasuk:

  • Menambahbaik dasar-dasar semasa serta meliberalisasikan dasar- dasar berkaitan pelaburan;
  • Meliberalisasikan subsektor perkhidmatan secara progresif bagi menggalakkan pertumbuhan dan pelaburan dalam sektor perkhidmatan
  • Memastikan penyelarasan yang cekap dan effisien antara semua agensi kerajaan dan swasta berkaitan bidang pelaburan melalui penubuhan Jawatankuasa Pelaburan (Investment Committee) yang dipengerusikan bersama YB Menteri MITI dan Ketua Pegawai Eksekutif PEMANDU
  • Menganjurkan misi perdagangan dan pelaburan bertujuan menyebar dan memaklumkan kepada pelabur-pelabur tentang peluang pelaburan dalam sektor-sektor yang disasarkan melalui pendekatan ekosistem.
  • Menawarkan galakan pelaburan berbentuk fiskal dan bukan fiskal secara selektif dalam mempromosikan industri strategik, industri baru muncul (emerging industry) dan berteknologi tinggi seperti sektor sumber alternatif, 'advanced electronics', bioteknologi, fotonik, peralatan perubatan, ICT, aeroangkasa, petrokimia dan sektor perkhidmatan seperti principal hub dan R&D; dan
  • Menambahbaik sistem penyampaian Kerajaan melalui Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH)

No comments:

Post a Comment