Saturday, 20 June 2015

Pemberitahuan Pertanyaan Dewan Rakyat : MP Sekijang kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia (Isu Penyedia Jalur Lebar)

Daripada : YB Tuan Anuar bin Abd Manap
Tarikh     : 09.06.2015

Tuan Anuar bin Abd Manap [Sekijang] minta Menteri Komunikasi dan Multimedia menyatakan berapakah jumlah aduan diterima terhadap syarikat penyedia jalur lebar berkenaan khidmat yang disediakan dan apakah tindakan SKMM dalam memantau serta mengambil tindakan terhadap aduan kepada syarikat penyedia jalur lebar.

Jawapan : 
Pada tahun ini, hingga 11 Mei 2015. Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) ini melalui Unit Komunikasi Korporat (UKK) KKMM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah
menerima sejumlah 827 aduan berkaitan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar. Statistik ini telah mencatatkan penurunan sejumlah 50% berbanding tahun 2014 (bagi tempoh Januari sehingga Mei 2014). Selain itu, aduan mengenai perkhidmatan jalur lebar berwayar juga telah menurun daripada 328 aduan bagi tempoh Januari hingga 2014 kepada 311 aduan bagi tempoh yang sama pada tahun 2015. 

Berdasarkan kepada pemantauan yang dilakukan secara berkala oleh SKMM, sejumlah 77% aduan telah diselesaikan dan baki 22% masih dalam siasatan. Bagi tujuan penambahbaikan, hingga Mei 2015. sejumlah enam (6) surat amaran telah dikeluarkan kepada pemberi perkhidmatan kerana gagal menyelesaikan aduan mengikut piawaian yang telah ditetapkan di bawah Kod Amalan Pengguna yang tertakluk dalam Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Selain itu, pemberi perkhidmatan juga telah diarahkan untuk memberikan sejumlah RM 234,317.45 rebat kepada pengguna berdasarkan kepada aduan yang telah dikemukakan. 

SKMM juga telah mengeluarkan laporan prestasi bulanan kepada pemberi perkhidmatan bagi memastikan pengendalian aduan dikelolakan mengikut piawaian yang telah ditetapkan. Hasil laporan ini akan digunakan dalam menentukan kedudukan pemberi perkhidmatan dalam penilaian "Star Rating" yang akan diumumkan pada suku akhir tahun 2015. Program Star Rating ini telah dilancarkan di bawah "Consumer Empowerment 2014- 2016" yang dikendalikan oleh SKMM dan Forum Pengguna Malaysia (Consumer Forum Malaysia, CFM).

No comments:

Post a Comment